Jul 27, 2022 - FASSelangor FC akan meneruskan perjuangan minggu ke-13 Liga Super 2022 menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada jam 8:15 PM malam ini.
Michael Feichtenbeiner, Ketua Jurulatih Selangor FC, menganggap Sri Pahang FC merupakan pasukan yang mempunyai barisan pemain tengah yang merbahaya.
“Sri Pahang FC telah menunjukkan aksi yang baik dalam perlawanan sebelum ini. Kekuatan di bahagian tengah mereka terutama sekali dengan adanya pemain seperti Azam Azih dan Manuel Hildago, kita perlu tahu apa yang perlu dibuat.
Walau bagaimanapun, selepas mendapat rekod kemenangan away baru-baru ini dalam saingan Piala FA, pasukan kini berada dalam keadaan yang sangat baik dan saya mengharapkan kita dapat teruskan rekod baik aksi away tersebut,”
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Liga Super hari ini, pasukan Selangor FC masih belum berkesempatan menggunakan khidmat R. Dinesh yang berada dalam fasa pemulihan daripada kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) dan Safuwan Baharudin akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’.
Selain itu, Zikri Khalili pula tidak dapat beraksi bersama pasukan pada malam ini kerana kad merah yang beliau peroleh menentang KL City FC. Di samping itu, Mukhairi Ajmal juga digantung untuk perlawanan ini selepas mengumpul tiga kad kuning.
Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan! Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!